Ahad, 4 Disember 2016

Aku MencemburuiNya, Muhammad Insan Mulia

Aku cemburu pada Muhammad,
Dia kekasih Allah Rabbul Izzati,
Disayangi makhluk bumi,
Dikasihi penduduk langit.

Aku cemburu pada Muhammad,
Elok peribadinya mengundang sayang,
Sopan tutur katanya mengundang tenang,
Tenang hatinya mengundang senang.

Aku cemburu pada Muhammad.

Sungguh aku cemburu padaNya,
Penat lelahnya diadu hanya kepada Tuhan,
Dihina dicaci disakiti semua dirasainya,
Tapi tetap ketenangannya menggetar sukma.

Diamnya di tengah malam,
Sujudnya dalam kelam,
Menanti siang yang bakal menguras tenaganya,
Lagi Dia hanya mengadu pada Tuhan.

Sungguh aku mencemburuiNya.

Pada senyumanNya,
Tatkala Dia disakiti oleh yahudi yang membenci mahupun keluarganya sendiri,
Tatkala direnggut leherNya dan najis diletakkan padaNya,
Tatkala batu mencederai anggota tubuhNya.

Masih Dia berdoa,
Agar tidak disakiti kaumNya,
Bahkan diberi hidayah oleh Tuhan,
Betapa kasihNya Baginda kepada umatNya.

Aku cemburu pada kemurnian hati Muhammad,
Pada baik sangkaanNya,
Pada baik pergaulanNya,
Pada setiap tingkah lakuNya
Terhadap sahabat dan musuhNya.

Aku cemburu,
Bukan kerana Dia seorang Rasul,
Tapi kerana masih rendah hatiNya,
Walau diangkat darjat di sisi Tuhan.

Lalu dalam cemburu,
Aku belajar mencintai seorang Muhammad.

Dinukilkan khas buat Nuraini Rahman.

Al Khuwaidimah,
Lizawatie | Penciptaku Dihatiku
04122016 | 0745AM

https://telegram.me/thepenciptakudihatiku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan