Khamis, 26 Oktober 2017

NAAN Qawi (Part 9)

NAAN Qawi.

Part 9--

"Eh! Maafkan saya. Saya tak sengaja." Pinta NAAN pada lelaki yang dilanggarnya itu.

"Takpa..takpa.. salah saya juga sebab tak perasan ada orang kat depan." Ujar lelaki itu.

NAAN berlaga bahu dengan seorang pelajar lelaki menyebabkan fail-fail assignment miliknya berjatuhan ke lantai.

NAAN dan Hannah memilih tempat duduk di suatu sudut tepi dalam perpustakaan itu. Mereka lebih selesa di situ kerana tidak ramai orang yang lalu-lalang.

"NAAN, lelaki tadi asyik pandang ke arah kita. Ada apa-apa yang tak kena ke? Ke kau tersalah ambil fail dia punya?" Kata Hannah.

"Hah? Mana? Takpun. NAAN ambil fail NAAN punyalah. Kalau NAAN terambil fail lelaki tadi tu punya, NAAN akan pulangkan balik. Dahlah banyak assignment nak kena betulkan ni, tak sanggup nak tertukar fail berhari-hari." Bebel NAAN.

"Assalamu'alaikum cik berdua. Ini ada surat untuk cik berbaju ungu. Surat ini datang dari lelaki yang berbaju kemeja biru di sudut sana sambil jari menunjuk ke arah lelaki tadi." Kata pak guard yang menjadi posmen kepada lelaki itu.

"Alahai. Untunglah dapat surat."  Usik Hannah.

"Untung apa kebenda laa wahai Hannah sayang oii. Jom buka surat ni. Lelaki ni nak apalah agaknya." Ujar NAAN.

Lalu surat tadi dibuka dan dibaca,

Assalamu'alaikum..

Nama ana Amir Iskandar. Ana terpaku melihat enti. Jujur ana katakan. Ana ingin bertanya, sekiranya enti sudi, ana ingin berkawan dengan enti.

-Amir Iskandar-

"Hannah, dia tu nak berkawan dengan NAAN. Boleh ke lelaki berkawan dengan perempuan tanpa tujuan yang pasti?" Tanya NAAN.

"Lorhh. Ingatkan betul-betul fail tertukar rupa-rupanya nak berkawan. Hmm. Tak payahlah. Balas ja kata NAAN dah ada kawan iaitu Hannah. Rasanya ramai lagi pelajar lelaki kat U ni yang nak berkawan dengan dia. Dia tu ja yang tak perasan. Adakah nak cari kawan tapi perempuan. Lainlah kalau nak ajak kahwin. Sekurang-kurangnya, ada juga peneman hidup NAAN kesayangan Hannah ni. Hahahahaha." Gelak ketawa mereka berdua apabila mendengar part ayat yang last itu.

"Amboi! Dia tu sakan nampak. Hehe. Nak balas apa dekat surat ni?" Tanya NAAN.

"Meh Hannah balas,

Wa'alaikumussalam..

Andai hanya ingin berkawan, kera di hutan juga berkawan. Namun, andai ada nawaitu yang tersembunyi atau lebih akbar dari itu, mohon berkawan dengan orang lain. Kerana ana sudah ada seorang sahabat yang lebih baik daripada 10 orang kawan.

Sekian.

-NAAN-

Karya/Kredit:
Lizawatie Mihamzah

http://t.me/thepenciptakudihatiku

NAAN Qawi (Part 8)

NAAN Qawi.

Part 8--

Sebulan berlalu, kenangan itu masih subur dalam ingatannya. Peristiwa yang menyebabkan semangatnya berselerakan. Namun, digagahi jua kerana sebuah janji yang pernah terungkap suatu ketika dahulu. Janji untuk terus kuat, terus teguh dalam menempuh kehidupan.

"Doktor, bagaimana keadaan Hannah? Dia boleh selamat tak? Tolong buat yang terbaik doktor. Tolonglah doktor. Tolong selamatkan nyawa Hannah. Tolong doktor." Rayu NAAN kepada Doktor Nurain.

"Kami akan cuba sehabis baik untuk menyelamatkan pesakit. Kami tidak akan membiarkan pesakit dalam keadaan yang kritikal seperti ini. Selebihnya, kita berserah pada Allah kerana Dia yang menentukan segalanya." Jelas doktor Nurain.

Denyutan jantung Hannah tiba-tiba berhenti secara total. Itu yang membuatkan NAAN cemas. Mana tidaknya, Hannah baru sahaja minta izin untuk lena sebentar, tiba-tiba NAAN terdengar bunyi tettt yang panjang. Hannah bergegas untuk mendapatkan Doktor Nurain untuk memeriksa keadaan Hannah.

"Ehem! Termenung apa tu cik NAAN yang comel?" Sergah Hannah membuatkan NAAN sedar dari lamunan.

"Tak ada apalah. NAAN cuma teringat peristiwa yang mencemaskan pada saat itu." Ujar NAAN.

"Peristiwa cemas? Peristiwa apa tu?" Soal Hannah.

"Peristiwa cemas saat denyut jantung Hannah terhenti secara total. Hannah tahu, NAAN amat takut waktu itu kalau Hannah akan pergi meninggalkan NAAN selamanya. Namun, Allah itu Maha Mendengar dan Mengetahui segala apa yang terbisik di hati. Dari sudut hati NAAN yang paling dalam, NAAN minta pada Allah agar jangan mengambil Hannah lagi saat itu. NAAN tidak kuat tetapi andai itu yang terbaik buat kita berdua, moga Tuhan mendakap jiwa ini dengan erat agar tidak jauh dari naungan-Nya, agar jiwa ini tidak meronta dan meratapi sebuah pemergian." Terang NAAN panjang lebar.

"Alhamdulillah. Itulah tanda kasih Allah kepada kita. Allah tidak akan pernah membiarkan kita terkapai-kapai bila kita meminta bersungguh-sungguh pada-Nya. Benar Allah itu Maha Mendengar tetapi Allah ingin melihat sejauh mana kita hidup dengan title hamba. Hamba yang bertawakkal pada-Nya atas segala ketentuan." Ujar Hannah pula.

"Benar! Betul!" NAAN mengiyakan.

"Hah! Ni tak ada kelas ke duduk lama-lama kat sini? Kejap lagi lambat pula." Soal Hannah.

"Harini kelas petang. So, bolehlah kalau nak minta teman ke perpustakaan." Kata NAAN.

Karya/Kredit:
Lizawatie Mihamzah

http://t.me/thepenciptakudihatiku

NAAN Qawi (Part 7)

NAAN Qawi.

Part 7--

Usai solat dia bermunajat agar Hannah cepat sedar dan kembali pulih seperti sediakala. Tinggi benar pengharapannya kepada Tuhan untuk melihat Hannah kesayangannya itu cepat sedar.

Hannah mulai menggerak-gerakkan jarinya. NAAN cepat-cepat memanggil doktor untuk memeriksa keadaan Hannah.

"Doktor! Doktor! Hannah Auliya mulai sedar. Tadi saya melihat dia menggerak-gerakkan jarinya." Terang NAAN.

"Hannah sedar tapi kondisinya amat lemah. Kita berdoa agar semua baik-baik sahaja. Banyakkan berbicara dengannya dan beri dia kata-kata semangat agar dia kuat dan mampu melepasi semua kondisi kritikalnya." Terang doktor Nurain.

Selepas mendengar penerangan daripada doktor, perasaan takut mulai menyelubungi hati NAAN. Dia takut kalau apa yang hatinya tidak mampu hadapi akan berlaku. Cuma cepat atau lambat sahaja akan menjadi penentunya. Semua jua akan pergi tetapi hati masih belum mengerti bahawa tiada apa pun yang pernah dimiliki.

"La Ilaha Ila anta subhanaka inni kuntu minaz zholimiin." NAAN mengulang-ulang kalimah itu sehingga ia sudah sebati sebutannya sambil memegang dada mentelaah degup jantungnya. Dia memejamkan matanya dan merasai keagungan kasih Tuhan terhadapnya. Dia terlalu diuji.

Tettttttttt!!! Tiba-tiba dia tersedar dari keasyikan. Rupa-rupanya kadar pergerakan jantung Hannah sangat lemah dan kritikal. Dia bergegas memanggil doktor Nurain untuk memeriksa Hannah.

"Bagaimana keadaan Hannah, doktor?" Soal NAAN.

"Hannah dalam keadaan yang sangat merbahaya dan kritikal. Bila-bila masa sahaja pergerakan jantungnya akan terhenti. Kita banyakkanlah berdoa agar Hannah keluar dari zon merah." Terang doktor Nurain.

"Kita sama-sama berdoa agar Allah menunjukkan keagungan-Nya terhadap sahabat awak ini. Awak kena kuat NAAN. Awak tak boleh lemah dengan semua ini. Ingatlah Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar." Tambahnya lagi.

Karya/Kredit:
Lizawatie Mihamzah

http://t.me/thepenciptakudihatiku

NAAN Qawi (Part 6)

NAAN Qawi.

Part 6--

"Izz!!! Izz bangun Izz. Bangun. Ya Allah, apa aku nak buat ni. Tolong saya. Tolong. Tolong. Ya Allah selamatkanlah Izz. Izz bertahan. Izz kuat. Izz maksud kuat kan. Izz kena kuat." Rintih NAAN.

Mereka bergegas ke hospital kerana Izz terlibat dengan kes langgar lari. Anggotanya kena rempuh dengan kuat menyebabkannya tidak mampu sedarkan diri.

Izz dimasukkan ke dalam ICU. Keadaannya amat kritikal. Tulang-tulang banyak yang patah. Darah juga begitu. Kerisauan tampak jelas pada muka NAAN. Dia asyik menangis sejak dari dalam ambulans lagi.

Tangisan NAAN seperti tidak ada tanda-tanda akan berhenti. Dia terlalu banyak menangis sehinggakan matanya sudah kelihatan bengkak sedikit.

"Siapa waris terdekat Izz Faqirah?" Tanya doktor tersebut.

"Saya! Saya!" Kata NAAN.

"Kami minta maaf. Kami tidak dapat menyelamatkan nyawa cik Izz Faqirah. Banyakkan bersabar ya. Allah lebih menyayanginya." Ujar doktor tersebut.

NAAN seperti orang yang hilang kawalan lalu pengsan. Dia tidak dapat menyeimbangkan emosinya ketika berhadapan dengan situasi seperti itu. Tambahan pula, kehilangan satu-satu sahabat akrabnya semenjak dia kehilangan mak ayah tiga tahun yang lalu asbab terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Kehilangan kali ini benar-benar menguji imannya. Gelombang futur yang mula bertapak di dalam hati semakin bebas melebarkan wilayah jajahannya dalam diri seorang NAAN.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, dia masih dalam keadaan depresi yang melampau. Tidak mahu makan dan minum. Membiarkan diri dalam keadaan tenat dan parah terbawa arus dek gelora jiwa yang futur.

Dia dalam keadaan yang tidak terurus. Sama ada dari segi kesihatan, makan dan minum, pakaian dan akademik. Bahkan, dalam bab ibadah, kena ada orang yang mengingatkan. Jika tidak, dia akan terus larut dalam alunan duka nestapa.

Begitulah keadaan NAAN semenjak pemergian Izz ke pangkuan Tuhan. Begitu lemah iman yang ada dalam diri NAAN sehinggakan Tuhan mahu menarik balik apa yang Dia pinjamkan pun, NAAN menunjukkan rasa tidak redha terhadapnya.

Sesungguhnya, siapalah kita ingin menyangkal kuasa Tuhan. Tanya diri kita, adakah aku layak merasa kehilangan sedangkan aku belum pernah ada sesuatu yang aku miliki secara mutlak. Pandanglah ujian yang datang dari sisi insan yang tiada apa-apa asalnya, bukan dari sisi Tuhan Yang Empunya segala.

Karya/Kredit:
Lizawatie Mihamzah

http://t.me/thepenciptakudihatiku

NAAN Qawi (Part 5)

NAAN Qawi.

Part 5--

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Hari imtihan terakhir akan tiba tak lama lagi. Rasa sedih mula bertamu di hati NAAN untuk meninggalkan tempat pengajiannya.

Sedang tekun mengulangkaji, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Lagu "tholama asyku" berdendang menandakan panggilan itu diterima daripada Chentaku Hannah Auliya. Hatinya berdebar-debar seperti ada sesuatu yang berlaku.

"Assalamu'alaikum. Ya saya Kak Nur NAAN. Ada apa ya? Ni bukan telefon Hannah Auliya ke? Apa? MasyaAllah. Baik-baik. Saya datang sekarang."

"Ya Allah, Engkau kuatkanlah aku menempuhi semua ini. Jua berilah kekuatan kepada Hannah yang aku sayangi untuk terus bertahan. Allah Allah. Hati ini tidak kuat lagi." Monolog hatinya.

"Auni ke? Saya NAAN. Bagaimana keadaan Hannah? Dia teruk sangat ke?" Tanya NAAN pada Auni.

"Hannah kritikal sangat. Dia banyak kehilangan darah. Di tempat kejadian tadi, dia pengsan, tapi dia sempat sebut NAAN kena kuat." Terang Auni pada NAAN.

"Selepas dengar nama NAAN, saya terus mencari telefon Hannah dan nama NAAN dan terus membuat panggilan ke nombor awak." Terang Auni lagi

"Kita doa semoga semuanya baik-baik sahaja." Ujar NAAN.

Hatinya semakin takut untuk rasa kehilangan selepas mendengar penjelasan daripada Auni sebentar tadi. "Semoga semuanya baik-baik sahaja. Hannah Auliya, awak kena bertahan sehingga ke akhirnya. Jangan biarkan saya sendiri. Awak tidak tahu apa yang pernah saya lalui tiga semester yang lepas." Bisik hatinya.

Karya/Kredit:
Lizawatie Mihamzah

http://t.me/thepenciptakudihatiku

NAAN Qawi (Part 4)

NAAN Qawi.

Part 4--

"Awak sayang NAAN tak?" ujar NAAN pada Hannah dengan nada manja.

"Mestilah sayang. Saya sayang awak kerana Allah, wahai NAANku sayang." Jawab Hannah.

"Kalau sayang, awak jangan biarkan saya sendiri ya. Awak akan sentiasa ada, bila saya memerlukan, boleh?" Pinta NAAN.

"In shaa Allah awak. Saya akan sentiasa ada andai awak memerlukan. Tetapi, andai Allah menjemput saya pulang suatu hari nanti, awak berjanji pada saya, yang awak akan kuat dan sentiasa melebarkan senyuman. Redhalah dengan pemergian saya nanti. Saya tidak mahu, NAAN yang saya kenali dan selalu ceria ini, bermuram durja saat itu. Boleh?" Pinta Hannah kepada NAAN.

"Hmm..saya tidak tahu sama ada saya akan kuat dan ceria seperti ini atau tidak pada saat itu. Cuma satu saya pinta pada awak, jangan biarkan saya sendiri. Saya takut untuk kesepian dan kehilangan." Ujar NAAN.

"NAAN nak dengar satu kisah tak?" Ujar Hannah.

"Boleh. Saya nak! Saya nak!" Jawab NAAN seperti keanak-anakan.

Pada suatu ketika, ada dua orang sahabat yang saling berkasih sayang kerana Allah. Kehidupan mereka sederhana dan bahagia hinggalah pada suatu hari, salah seorang daripada mereka pergi menghadap Ilahi. Salah seorang tadi amatlah bermuram durja sehingga nikmat kesihatannya hilang ditelan duka. Dari hari ke hari sehinga bulan ke bulan, dia tetap terus ingin dalam keadaan yang sama. Dia masih lagi berduka sehingga menyebabkan anggota matanya tidak lagi seperti dahulu. Dia hampir saja buta.

Namun begitu, dia tetap dalam keadaan yang sama sehingga datang seseorang dalam mimpinya. Dalam mimpi tersebut, dia melihat seseorang itu adalah sahabat kesayangannya. Si sahabat tadi berpesan padanya, "Wahai sahabatku, mengapa engkau terus larut dalam kesedihan? Tidakkah engkau yakin pada kuasa Tuhan? Kau harus kuat menempuh dugaan ini. Sebelum aku terlupa, aku ingin berkata padamu, sama ada engkau menjadi lebih baik ataupun sebaliknya. Galilah hikmah dalam setiap kisah. Ambil ibrah dalam setiap cerita. Terima kasih untuk kenangan kita. Tuhan sentiasa membahagiakanmu dengan cara-Nya. Kudoa agar engkau kuat untuk hari-hari seterusnya. Allah tahu engkau mampu hadapi dugaan ini. Ketahuilah, diri ini amat mencintaimu kerana Allah. Dengan kasih sayang dari Tuhan, maka berbahagialah."

Lalu si sahabat tadi terjaga dan beristighfar panjang. Dan selepas daripada peristiwa malam itu, dia belajar untuk terus kuat walau apa jua rintangan melanda.

"So, saya nak NAAN ambil ibrah daripada kisah ini, NAAN kena kuat walau apa jua yang datang melanda dalam kehidupan ini. NAAN janji pada saya ya." Pinta Hannah pada NAAN.

Karya/Kredit:
Lizawatie Mihamzah

http://t.me/thepenciptakudihatiku

NAAN Qawi (Part 3)

NAAN Qawi.

Part 3--

Seminggu berlalu, tiba-tiba hati diusik rindu yang bertamu. Rindu di hatinya terhadap Hannah Auliya makin tidak tertahan. Terasa seperti ada sesuatu yang memanggil jiwanya bergelora untuk hadiah yang lebih akbar dan terlalu indah.

Seperti biasa, selepas kelas NAAN akan pergi ke surau. Baginya tempat itu lebih tenang dan selamat berbanding kafeteria. Dia berharap akan bertemu dengan Hannah Auliya di situ kerana kerinduan dan sudah hampir dua minggu mereka tidak bertemu mata dan jasad.

Hajat tertunai hati riang gembira. Dia bertemu dengan insan yang dirindu di suatu sudut ruang surau.

"Assalamu'alaikum Hannah. Hannah sihat? Lama akak tak nampak hannah. Hati jadi rindu. Hehe." Ujar NAAN.

"Wa'alaikumussalam akak. Alhamdulillah saya sihat. Akak sihat? Hannah pun rindukan akak. Lama kita tak berjumpa ya. Ada dalam seminggu lebih juga. Hehehe." Kata Hannah.

Mereka bertanya khabar, berbalas senyum dan bertukar cerita.

Lepas daripada peristiwa itu, mereka berdua semakin rapat bagai isi dengan kuku. Ke mana-mana mesti berdua dan akan berpisah sewaktu ada kelas sahaja.

Walaupun jarak usia berbeza, mereka seperti sebaya sahaja. Hari-hari NAAN dihiasi bahagia berkat nikmat seorang sahabat yang dipinjamkan Tuhan. Dia takut lagi untuk kehilangan kali ini. Takut hati tidak mampu lagi bertaut dalam kasih Tuhan. Cukuplah sekali itu sahaja.

Senyumnya dicabut, manis wajahnya hilang kerana terlalu sendu dengan yang namanya kehilangan. Perginya bukan sementara, tetapi untuk selamanya. Kekuatan dirobek hingga berkecai. Empangan airmata tidak mahu berhenti untuk terus menunjukkan derasnya waktu itu. Sungguh, kehilangan itu amat memeritkan.

Dia berdoa di lubuk hati yang paling dalam, janganlah ditarik dengan begitu cepat nikmat yang dipinjamkan. Biarlah jasad dan jiwa ini merasai indahnya kasih Tuhan. Kerana diri ini masih belum kuat untuk menerima lagi kehilangan. Aamiin. Monolog hati NAAN.

Karya/Kredit:
Lizawatie Mihamzah

http://t.me/thepenciptakudihatiku